Thursday, 12 March 2015

Contoh karangan bahagian B Kertas 1 jenis syarahan

Bahagian B
[ 100 markah ]
[ Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit ]

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

1. Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan anda ialah 'Pengurusan Masa Berkesan Melahirkan Individu Cemerlang'.

Tulis teks syarahan itu selengkapnya.

             Sekalung spresiasi saya ucapkan buat peneraju acara yang petah berbicara, para hakim budiman yang adil lagi saksama, menjadi neraca keadilan, paksi kebenaran, guru-guru pendidik anak bangsa serta rakan-rakan seperjuangan, pemangkin kemajuan bangsa dan negara. Selamat sejahtera dan salam Satu Malaysia buat kesemuanya. Berdirinya saya di sini pada pagi yang mulia dan penuh dengan keberkatan ini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk 'Pengurusan Masa Berkesan Melahirkan Individu Cemerlang'. Sebelum bibir terus melantun kata, sebelum untaian idea saya teroka, dan sebelum gapura kata saya buka, moleklah sekiranya saya mendefinisikan terlebih dahulu maksud tajuk syarahan saya pada pagi ini agar kita semua tidak karam di lautan idea. Frasa ' pengurusan yang berkesan ' membawa maksud teknik-teknik mengurus kehidupan seharian dengan mematuhi serta menghargai masa, manakala frasa 'melahirkan individu cemerlang' bolehlah dikonotasikan sebagai pembentukan sahsiah dan keperibadian unggul dalam diri seseorang. (136 patah perkataan)

Hadirin-hadirin pemangkin kemajuan negara,
              Bagi memastikan bahawa setiap seorang daripada rakyat Malaysia mempunyai pengurusan masa yang berkesan, maka terdapat pelbagai prakarsa yang telah diperkenalkan oleh kerajaan melalui saranan daripada Perdana Menteri sendiri, iaitu Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak melalui 'Kempen Rakyat Proaktif, Negara Maju' yang telah diadakan beberapa tahun yang lalu. Prakarsa pertama yang wajar kita cakna ialah menyediakan jadual harian serta jadual belajar bagi para pelajar di seluruh Malaysia. Marcapada ini, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang masih tidak mengetahui serta menyedari akan kepentingan jadual harian serta jadual belajar bagi memastikan kelancaran kehidupan seharian rakyat di Malaysia. Jadual harian tersebut seyogiyalah mengandungi peruntukan masa dan jenis-jenis aktiviti yang diambil kira akan kepentingan aktiviti-aktiviti tersebut dalam kehidupan seharian, agar matlamat pelaksanaan jadual harian tersebut dapat dicapai dengan sebaik mungkin. Meminjam kata-kata hikmat dari seorang ahli perniagaan terkenal dunia, Donald Trump, beliau berkata bahawa, "Seluruh kehidupan kita perlu dirancang dan dikawal sekiranya kejayaan mahu dikecapi". Maka, sudah terbuktilah bahawa teknik pelaksanaan jadual harian mampu membawa kepada pengurusan masa yang berkesan dan seterusnya melahirkan individu cemerlang persis Donald Trump yang dicemburui ramai atas kejayaan yang dimilikinya. Namun, hadirin sekalian harus sentiasa menyedari bahawa untuk menjayakan pelaksanaan jadual harian ini, disiplin diri yang tinggi, atau lebih diknelai sebagai ad-Tadwin dalam kerajaan Abbasiyah sewaktu ketika dahulu, perlu disemai dalam diri terlebih daulu. Persis kata peribahasa, hendak seribu daya tak hendak seribu dalihnya. Jika kita berusaha, pasti kita akan dapat mencapai apa yang dihajatkan.
Berakit-rakit ke hulu, 
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian. (253 patah perkataan)

                Selesai untaian idea pertama, beralih pula kepada untaian idea yang kedua. Serangkap pantun yang saya bacakan sebentar tadi merupakan warisan sastera turun-temurun yang sengaja dicipta oleh generasi terdahulu bagi menekankan sikap sabar dan tabah dalam menempuh sesuatu dugaan, supaya kita dapat menikmati kemanisan nikmat kejayaan pada kemudian hari, mesej dan teladan yang cuba disampaikan ini bolehlah dikaitkan dengan untaian idea saya yang kedua, iaitu prakarsa bagi memupuk pengurusan masa berkesan dalam diri seseorang melalui sikap tidak menangguhkan kerja. Biarlah kita bersusah-payah, membanting tulang empat kerat berusaha seperti tiada hari esok bagi memastikan bahawa pekerjaan yang harus kita siapkan pada hari ini tidak berlanjutan sehingga ke hari esok. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Oxford University pada tahun 2005, hampir 60 peratus daripada rakyat di negara mereka menganggap bahawa sikap suka menangguhkan kerja mampu mendatangkan kesan buruk kepada seseorang. Sekiranya tenaga kerja serta pelajar di sekolah ini mengamalkan sikap tidak mengangguhkan kerja dalam kehidupan seharian sudah tentu sekolah ini akan membangun serta maju dalam pelbagai bidang, berbekalkan tenaga kerja dan pelajar yang proaktif dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa pengurusan masa yang berkesan bukan sahaja boleh melahirkan individu yang cemerlang bahkan boleh membawa perubahan positif kepada semua pihak yang terlibat. (222 patah perkataan)

Hadirin-hadirin sidang bervisi,
             Meneruskan agenda kita kepada idea saya yang ketiga, iaitu prakarsa menepati waktu bagi melahirkan pengurusan masa yang berkesan. Meminjam kata-kata hikmat daripada Tun Sri Lanang "Kita hendaklah menepati waktu, kerana waktu tidak menanti kita". Meskipun kita mampu membeli dunia dengan wang ringgit, biarpun kita mampu membeli cinta dengan harta kekayaan, namun sayangnya jika harta dihimpun seluas Lautan Pasifik, mahupun setinggi Gunung Everest, namun kita tidak akan mampu membeli walau hanya lima minit yang telah berlalu. Maka, sehubungan dengan itu, amalan menepati masa haruslah diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia, persis mutiara kata 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' agar amalan ini berkekalan dalam diri kita demi melahirkan individu yang cemerlang. Lihat sahaja pemain badminton terulung dunia, kebanggan tanah air, Datuk Lee Chong Wei, beliau merupakan salah satu contoh individu yang cemerlang, kerana sikapnya yang sangat menepati waktu. Beliau tidak akan melengah-lengahkan pekerjaan beliau, bahkan beliau juga tidak pernah datang lewat untuk menjalani sesi latihan kerana bagi beliau, masa itu emas. Sikap positif individu cemerlang ini haruslah diteladani serta dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat. Datuk Lee Chong Wei telah membuktikan bahawa sekiranya kita mempunyai pengurusan masa yang berkesan, kita akan menjadi individu yang cemerlang yang berdisiplin dan disegani serta disanjungi masyarakat.
Ingat lima perkara sebelum lima perkara,
Sihat sebelum sakit,
Muda sebelum tua,
Kaya sebelum miskin,
Lapang sebelum sempit,
Hidup sebelum mati. (223 patah perkataan)

Hadirin-hadirat pencetus aspirasi negara,
             Lirik lagu yang saya sampaikan sebentar tadi merupakan lagu dendangan sebuah kumpulan nasyid, yang bertujuan menyedarkan umat manusia tentang kepentingan meninggalkan perkara yang melalaikan dalam kehidupan serta menghargai setiap detik yang berlalu. Suka saya ingatkan di sini bahawa meninggalkan perkara yang melalaikan merupakan salah satu anjuran qudwah hasanah umat manusia, yakni Nabi Muhammad. Beliau telah menyarankan agar umat manusia meninggalkan perkara yang tidak berfaedah serta tidak mendatangkan sebarang maslahat kepada manusia seperti berbual-bual kosong, melepak serta mengumpat dalam hadis-hadis beliau. Sekiranya mahu menjadi individu cemerlang yang mempunyai pengurusan masa yang berkesan, sewajarnya kita mengerti dan menyedari bahawa setiap detik, minit dan jam yang berlalu sangat berharga dan berbaloi untuk dibazirkan dengan perbuatan sedemikian rupa. Sewajarnya kita mengisi masa lapang kita dengan melakukan aktiviti-aktiviti bermanfaat serta membaca, bersukan dan beriadah. Ingin saya kongsikan di sini kata-kata hikmat daripada Datuk Seri Abdullah yang berbunyi "Masa itu ialah nyawa kita, seperti mana nyawa tidak boleh dibeli, begitu juga masa". Beliau juga merupakan seorang tokoh yang ternama yang sentiasa menyarankan aktiviti baru dan berfaedah kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan muda semasa tampuk pemerintahan beliau. (184 patah perkataan)

            Tuntasnya, terdapat pelbagai prakarsa yang boleh diambil bagi melaksanakan pengurusan masa berkesan, seterusnya melahirkan individu cemerlang. Individu cemerlang di sini membawa maksud individu yang berdisiplin tinggi, menepati waktu serta meninggalkan perkara yang sia-sia. Terdapat pelbagai manfaat yang boleh diperoleh dengan menjadi individu cemerlang, antaranya ialah disanjungi masyarakat, meningkatkan produktiviti kerja serta dapat menjadi insan yang bermotivasi tinggi. Meminjam kata-kata hikmat daripada Manta Presiden Indonesia, Soekarno, beliau berkata "Gantunglah cita-citamu di langit walaupun kakimu menjejaki perlimbahan". Maksudnya, kejarlah cita-cita kita untuk menjadi individu cemerlang dengan melaksanakan pengurusan masa yang berkesan walaupun bermula di bawah. Persis mutiara kata 'sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit','usaha tangga kejayaan'. Berbekalkan motivasi yang tinggi, kita mampu untuk mencapai cita-cita yang setinggi bintang di langit, walaupun kita masih berpijak di bumi yang nyata. Sekian sahaja daripada saya, sehingga berjumpa lagi. Sekian terima kasih. (135 patah perkataan)

0 comments:

Post a Comment