Sunday, 1 March 2015

Kosa Kata

1.Mikrocip
Jawapan: silikon kecil
Makna : Kepingan silikon yang sangat kecil dalam komputer dan mengandungi litar elektronik yang boleh menyimpan sejumlah besar maklumat.
Ayat : Komponen mikrocip ini diimport dari Jepun untuk industri pengkomputeran di negara ini.

2. Neorosis 
Jawapan : gangguan emosi
Makna : Tekanan emosi atau perasaan akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan (yang biasa menimbulkan keresahan yang mungkin ditunjukkan secara langsung atau tak langsung melalui pertuturan) .
Ayat : Gejala neorosis sering menimpa muda-mudi yang mengalami krisis keluarga.

3. Ozon 
Jawapan : lapisan gas di stratosfera bumi.
Makna : Lapisan gas di atmosfera yang berperanan menapis sinar lampu ungu yang berbahaya daripada matahari supaya tidak sampai ke bumi.
Ayat : Lapisan ozon semakin menipis di atmosfera dan boleh mengancam kehidupan makhluk di dunia.

4. Pakej 
Jawapan : tawaran lengkap
Makna : Cadangan yang dikemukakan terhadap sesuatu urus niaga, perkhidmatan dan sebagainya secara lengkap yang mesti diterima semuanya.
Ayat : Tawaran harga kepada barang-barang yang dijual secara pakej adalah lebih murah dan menjimatkan.

5. Juvenil 
Jawapan : remaja
Makna : Anak muda yang masih mentah dan belum matang.
Ayat : Kes juvenil yang dibawa ke mahkamah kerana melakukan pelbagai jenayah semakin bertambah sejak kebelakangan ini.

6. Prima facie
Jawapan : pada zahirnya
Makna : Pada penglihatan secara sepintas lalu (sebelum diselidik dengan lebih terperinci).
Ayat : Secara empiris, penemuan itu lebih berbentuk prima facie yang memerlukan kajian yang lebih mendalam.

7. Habeas corpus 
Jawapan : perintah bertulis
Makna : Arahan secara bertulis yang membolehkan seseorang dihadapkan ke muka pengadilan untuk memutuskan sama ada penahanannya dilakukan secara sah atau sebaliknya.
Ayat : Dia berjaya mendapatkan habeas corpus daripada mahkamah agar kes itu didengar semula untuk diulang bicara.

8. Halusinasi 
Jawapan : gangguan pancaindera
Makna : Pengalaman melihat atau mendengar sesuatu yang sebenarnya tidak wujud akibat gangguan kesihatan (seperti mengambil dadah).
Ayat : Pengambilan dadah yang berlebihan boleh membuatkan seseorang berada dalam keadaan halusinasi.

10. Harfiah
Jawapan : literal
Makna : Makna tersurat atau selapis yang dapat difahami secara mudah dan jelas (lawan kepada maknawi, iaitu makna yang tersirat).
Ayat : Secara harfiah, buku ini tidak menampilkan sebarang percanggahan fakta dengan apa yang pernah dipertikaikan oleh orang ramai sebelum ini.

11. Holistik 
Jawapan : keseluruhan
Makna : Pandangan yang lebih mementingkan unsur keseluruhan sebagai satu kesatuan daripada satu-satu bahagian tertentu.
Ayat : Pendapat itu menggunakan bukti-bukti yang terkini serta kejituan fakta secara holistik untuk mematahkan hujah-hujah pihak pembangkang.

12. Jerebu 
Jawapan : kabut bercampur debu
Makna : Pengumpulan habuk, asap tebal, debu dan lembapan dan sebagainya di atmosfera.
Ayat : Keadaan jerebu di Kuala Lumpur akan berterusan selagi usaha pemuliharaan alam sekitar tidak ditangani secara serius.

13. Kompendium
Jawapan : ikhtiar tulisan ilmiah
Makna : Ringkasan penulisan ilmiah yang tuntas.
Ayat : Kompendium itu akan dibentangkan sebagai kertas dasar dalam simposium tersebut.

14. Hegemoni
Jawapan : pengaruh kekuasaan
Makna : Pengaruh kekuasaan suatu negara atas negara-negara lain.
Ayat : Inti sari hegemoni Amerika Syarikat sesungguhnya adalah penjualan kapitalisme serakah dan pengeksportan liberalnya.

15. Demografi
Jawapan : susunan, jumlah dan perkembangan penduduk.
Makna : Ilmu pengetahuan tentang susunan, jumlah dan perkembangan penduduk, ilmu yang memberikan huraian lukisan atau statistik tentang suatu bangsa dilihat dari segi sosiopolitik, ilmu kependudukan.
Ayat : Kini Malaysia harus menerima realiti sejarah bahawa identiti nasional mesti diungkapkan dalam wadah kemelayuan dan di sesuaikan dengan demografi selepas merdeka.

16. Iltizam
Jawapan : Komitmen
Makna : Tanggungan, komitmen, tanggungjawab, janji.
Ayat : Kalau jabatan yang dipimpin oleh Norhiyati Ibrahim itu bermakna Jabatan Kemanusiaan dan Hal-Ehwal Awam, tentu sekali dapat mempertegas iltizam menerapkan dimensi kemanusiaan.

17. Liabiliti
Jawapan : Tanggungan
Makna : Tanggungjawab, tanggungan, kemudaratan, kekurangan.
Ayat : Roscoe dalam bukunya telah menganalisis fungsi, tujuan dan penerapan undang-undang liabiliti dan kontrak.

18. Pemerian
Jawapan : Penghuraian
Makna : Penjelasan (tentang sifat, keadaan hal dan unsurnya, keterangan kebahasan dalam bentuk huraian yang menjelaskan pelbagai peristiwa atau makna kebahasan).
Ayat : Bahasa dalam novel terbaharunya amat lurus dan hampir tiada terasa konotasi perasaan pengarang atau watak, sesuai dengan bentuk dan tradisi pemerian fakta sejarah.

19. Moratorium
Jawapan : Penghentian sementara.
Makna : Penangguhan, penghentian sementara mesyuarat, persidangan dan lain-lain.
Ayat : Kalau dikenakan moratorium, mereka menggunakan pelbagai pengaruh untuk mengubah keputusan yang telah dibuat.

20. Lepak
Jawapan : Menghabiskan masa tanpa membuat apa-apa kerja yang bermanfaat
Makna : Tidak membuat sebarang kerja (kerana malas dan sebagainya)
Ayat : Kementerian Kewangan akan menggemblengkan tenaga bersama-sama dengan kementerian-kementerian lain dalam usaha menangani belia-belia lepak di negara ini.

21. Resolusi
Jawapan : rumusan
Makna : Kebulatan pendapat atau keputusan yang diambil oleh suatu mesyuarat (perjumpaan, rapat dan lain-lain)
Ayat ; Sebelum itu ketika berucap menutup persidangan tersebut beliau mencadangkan resolusi yang dicapai dalam persidangan kali ini di bawa ke persidangan yang lebih besar dengan melibatkan semua masyarakat Parlimen dunia.

22. Etnik 
Jawapan : kesukuan
Makna : Yang berkaitan dengan sesuatu bangsa atau kaum (dalam suatu sistem atau kumpulan masyarakat yang lebih besar)
Ayat : Beliau yakin bahawa usaha memecahkan Bosnia-Herzagovina kepada tiga kawasan etnik di bawah rancangan Owens-Stoltenberg tidak akan berjaya.

23. Busana 
Jawapan : Pakaian lengkap yang cantik-cantik
Makna : Pakaian yang indah-indah, perhiasan.
Ayat : Penekanan pameran ini adalah untuk memperlihatkan nilai-nilai estetik, sejarah dan budaya yang terungkap dalam busana mereka.

24. Alternatif 
Jawapan : Pilihan
Makna : Pilihan yang merupakan kemestian(keharusan) satu pilihan antara dua kemungkinan atau beberapa kemungkinan.
Ayat : Syarikat perkhidmatan keselamatan, Securiforce Sdn. Bhd memperluaskan skop perniagaannya dengan memperkenalkan sebagai alternatif kepada keperluan sistem pengangkutan yang lebih efektif.

25. Kalis 
Jawapan : tidak dapat ditembusi
Makna : Tidak dapat dimasuki atau diserapi sesuatu seperti air atau peluru.
Ayat : Mengenai kelebihan lori-lori tersebut, beliau memberitahu, selain mempunyai ruang yang lebih luas berbanding dengan kenderaan biasa, ia juga adalah kalis peluru.





0 comments:

Post a Comment