Sunday, 1 March 2015

Simpulan Bahasa

1. Ada hati
Maksud : Kemahuan / berhajat akan sesuatu
Ayat : Walaupun keluarganya miskin tetapi Syakirah belajar bersungguh-sungguh kerana dia ada hati hendak melanjutkan pelajarannya ke universiti suatu hari nanti.

2. Buah hati
Maksud : Orang kesayangan / kekasih / orang yang dicintai
Ayat : Zakri berasa gelisah kerana buah hati yang dirinduinya selama ini akan ke luar negara.

3. Kecil hati
Maksud : Berasa tersinggung
Ayat : Jangan kecil hati akan kata-katanya kerana dia menasihati kita untuk kebaikan.

4. Langkah kanan
Maksud : Bernasib baik / bertuah
Ayat : Hari ini, Azizah langkah kanan kerana ketika dia tiba di rumah kakaknya, mereka sedang menikmati jamuan tengah hari dan dia dijemput makan bersama-sama mereka.

5. Ayam tambatan 
Maksud : Orang yang banyak pengalaman dan menjadi harapan (biasanya dalam pasukan permainan).
Ayat : Husaini menjadi ayam tambatan pasukan hoki sekolahnya kerana kehandalannya menjaring gol.

6. Buah tangan 
Maksud : Hadiah 
Ayat : Kami membawa buah tangan semasa melawat Aini di hospital.

7. Bintang terang
Maksud : Nasib baik
Ayat : Sejak tamat pengajiannya, dia dikatakan berbintang terang kerana mudah ditawarkan jawatan yang bergaji lumayan.

8. Bahasa dalam 
Maksud : Bahasa istana
Ayat : Sudah teradat dalam budaya Melayu setiap rakyat yang menghadap sultan hendaklah menggunakan bahasa dalam.

9. Samar muka
Maksud : Waktu senja
Ayat : Burung-burung yang keluar mencari makan akan kmebali ke sarang pada sebelah petang iaitu, ketika hari sudah samar muka.

10. Terang-terang tanah
Maksud : Waktu hampir siang
Ayat : Pada waktu terang-terang tanah penoreh itu sudah berada di kebun getahnya.

11. Mandi peluh 
Maksud : Bekerja dengan sepenuh tenaga
Ayat : Mereka sanggup mandi peluh asalkan surau di kampung itu dapat disipkan mengikut jadual.

12. Otak cair
Maksud : Pintar/bijak/pandai
Ayat : Alimin dianggap pelajar yang otak cair kerana dapat menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya dengan tepat.

13. Air muka
Maksud : Wajah, maruah
Ayat : Air muka Ati muram sahaja apabila ibunya melarang dia mengikuti kawan-kawannya ke pekan / Tidak baik mencemuh dan menjatuhkan air muka orang di depan khalayak ramai.

14. Alas cakap
Maksud : Kata pendahuluan sebelum persoalan utama diperkatakan
Ayat ; Alas cakap yang disampaikan oleh pengerusi forum itu menjadi pencetus kepada persoalan yang akan dibincangkan oleh ahli panel.

15. Bau-bau bacang 
Maksud : Persaudaraan yang jauh
Ayat : Saya selalu melawatnya apabila ke Kuala Lumpur kerana hubungan kekeluargaan kami masih bau-bau bacang.

16. Buah pena
Maksud : Hasil tulisan atau karya
Ayat : Cerpen yang berjudul "Pertemuan Pertama" ialah buah pena sasterawan negara.

17. Ikat perut 
Maksud : Mengurangkan / kurang makan kerana miskin
Ayat : Setiap hari kami sekeluarga terpaksa ikat perut kerana ayah uzur dan tidak dapat bekerja seperti dulu.

18. Tajam hati
Maksud : Seseorang yang mudah memahami sesuatu yang diajarkan
Ayat : Murid yang tajam hati menjadi kesayangan guru-guru dan rakan sekolahnya.






0 comments:

Post a Comment