Friday, 13 March 2015

Karangan Bahagian B Kertas 1

Bahagian B
[100 markah]
[Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit]

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

4. Usaha kerajaan memajukan bidang pertanian memang wajar kerana bidang ini memberikan pelbagai kebaikan kepada rakyat dan negara.
Bincangkan

            Memetik kata-kata daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam salah satu ucaptamanya, "Pertanian dan industri asas tani penjana ekonomi negara", menunjukkan bahawa industri pertanian merupakan salah satu industri yang menjadi peneraju utama kenaikan Kadar Keberhasilan Utama Negara sehingga hari ini. Pandangan tipikal rakyat yang sering memandang enteng akan kepentingan lubuk emas negara ini wajarlah diubah kerana bidang pertanian mampu memberi keuntungan kepada rakyat dan negara dalam pelbagai cara. Pelbagai usaha telah dijana oleh pihak kerajaan dalam usaha memastikan bidang pertanian negara terus maju sejajar dengan perkembangan bidang-bidang lain di negara ini. Kerjasama yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kementerian-kementerian lain menunjukkan betapa bersungguh-sungguhnya YB Datuk Seri Ismail Yaakub selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam usaha memajukan bidang yang tidak menjadi minat utama warga Malaysia. Persepsi warga Malaysia terhadap pertanian iaitu sebagai bidang yang kurang glamor dan kurang menguntungkan wajarlah dikikis sehabis baik kerana usaha-usaha kerajaan dalam memajukan bidang pertanian mampu memberi manfaat yang amat besar kepada rakyat dan negara Malaysia yang kita cintai. P1 (172 patah perkataan, 5 ayat)

         Salah satu wahana yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah pemberian bantuan dari segi penggunaan jentera moden sertai pembahagian benih yang berkualiti tinggi. Usaha ini dapat meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya golongan petani yang dahulunya merupakan antara golongan berpendapatan rendah di Malaysia. Sejak penjajahan kolonial British, petani tempatan yang menanam tanaman bukan komersial kurang mendapat bantuan dan terpaksa menjalankan pertanian tanpa kemudahan yang lengkap. Namun kini, kerajaan telah mengarahkan "Malaysian Agriculture Research and Development Institute", (MARDI) untuk menghasilkan biji benih yang berkualiti agar dapat menuai hasil tanaman yang berkualiti. Pelbagai kaedah bioteknologidigunakan untuk menghasilkan biji benih kacukan yang lebih tahan penyakit dan mampu menghasilkan tanaman dalam masa yang lebih singkat. Sebagai contoh tanaman padi tempatan telah dikacukkan dengan biji benih dari Kashmir dan Thailand untuk menghasilkan beras yang lebih tahan lama dan wangi. Begitu juga dengan bantuan penggunaan jentera teknologi yangmeningkatkan kadar penuaian hasil berbanding dengan penggunaan tenaga manusia. Secara tidak langsung, peningkatan hasil penuaian mampu meningkatkan pendapatan para petani dan mereka tidak perlu lagi hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang seperti zaman prakemerdekaan dahulu. Jelaslah dibuktikan bahawa usaha kerjaan mampu menaikkan taraf hidup rakyat terutamanya golongan yang terlibat secara langsung dengan aktiviti pertanian. P2 (201 patah perkataan)

         Prakarsa seterusnya yang diusahakan oleh kerajaan ialah membuka peluang perniagaan kepada para petani sama ada sama ada di peringkat tempatan mahuoun global. Perkara ini telah mewujudkan golongan usahawan pertanian yang menjadi agen lonjakan ekonomi. Kebiasaannya, pagi hujung minggu di Malaysia akan dihiasi dengan permukaan pasar tani yang menjual pelbagai hasil pertanian segar oleh petani di kawasan tersebut. Aktiviti jual beli ini mampu menjana pendapatan para petani secara langsung kerana mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pemborong. Muncul juga golongan usahawan yang memproses hasil pertanian mereka agar dapat dikomersialkan ke pasaran yang lebih luas seperti penanaman ubi kayu telah merangsangpercambahan industri kecil dan sederhana yang memproses ubi kayu untuk dijadikan kerepek dan dijual di serata Malaysia. Usahawan-usahawan ini bijak mengambil peluang yang diberikan oleh kerajaan dengan menggunakan bantuan yang diberikan untuk mencipta inovasi dalam alatan penghasilan kerepek seperti penggoreng yang canggih agar mampu mengeluarkan produk dalam skala yang besar. Contohnya Syarikat Azhar Foods yang terletak di Batu Pahat menjadi salah satu peneraju dalam bidang mengkomersialkan kerepek yang juga menjadi salah satu ikon usahawanpertanian yang berjaya. Berbekalkan prinsip sikit-sikit lama-lama jadi bukit, perusahaan berasaskan pertanian yang kecil pasti dalam dikembangkan dengan usaha petani dan usahawan pertanian dengan kerjasama daripada pihak kerajaan agar wujudnya usahawan pertanian yang menjana ekonomi negara. P3 (211 patah perkataan)

            Hasil pertanian di Malaysia lazimnya dipasarkan di pasaran tempatan dan menjadi sumber makanan kepada rakyat Malaysia sendiri. Peningkatan kualiti hasil pertanian sudah semestinya mampu menyumbang kepada peningkatan taraf kesihatan masyarakat di Malaysia. Penyelidikan yang dilaksanakan oleh pihak MARDI turut meningkatkan kualiti dan jumlah nutrisi yang terkandung dalam makanan. Menulusuri era pascaglobalisasi ini, kesihatan merupakan salah satu faktor utama untuk memajukan negara kerana rakyat yang sihat mampu menambah kadar produktiviti negara. Hasil pertanian yang berkualiti dan berkhasiat turut melahirkan golongan remaja dan kanak-kanak yang lebih berdaya tahan tinggi agar mampu menjadi pemimpin negara yang berkaliber kelak kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai salah satu pengeluar minyak sawit utama dunia, Malaysia telah melaksanakan pelbagai kajian dan penyelidikan melalui Perbadanan Kelapa Sawit Malaysia demi meningkatkan kualiti minyak sawit yang dihasilkan. Kekayaan Malaysia dengan juadah bergoreng menyebabkan perbadanan ini harus menghasilkan biji sawit yang menghasilkan minyak dengan ladar kolesterol yang rendah agar juadah-juadah bergoreng yang enak masih boleh dinikmati tanpa peningkatan risiko terhadap penyakit kardiovaskular mahupun obesiti. Tanaman-tanaman selain seperti buah-buahan tempatan juga dikacukkan dengan usaha kerajaan melalui syarikat-syarikat pengeluar hasil pertanian agar tahap kesihatan rakyat Malaysia dapat diperbaiki. Sesungguhnya, usaha kerajaan melalui penyelidikan mampu meningkatkan tahap kesihatan masyarakat darsawarsa ini berbanding zaman dahulu. P4 (201 patah perkataan)

          Sejajar dengan wawasan 2020 iaitu keinginan melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju lain, kerajaan telah menginisiatifkan pelbagai usaha untuk melonjakkan ekonomi negara melalui bidang pertanian. Malaysia masih menjadi salah satu pengeluar getah dunia sejak tanaman komersial itu diperkenalkan oleh H.N.Ridley pada tahun 1943 di Tanah Melayu. Sehingga hari ini, industri getah terus dimajukan oleh kerajaan dengan mengeksport getah mentah kepada negara lain seperti Jepun melalui perdagangan barter demi melonjakkan ekonomi negara. Pengkomersialan produk pertanian tradisional lain seperti tempoyak ke pasaran dunia turut melonjakkan kadar eksport negara kita. Malaysia turut mengeksport minyak sawit yang berkualiti tinggi ke luar negara kerana sambutan yang begitu menggalakkan daripada negara-negara luar. Peningkatan kadar eksport dalam bidang oertanian menjadikan kerajaan semakin bergiat aktif dalam bidang ini. Peruntukan yang besar telah disediakan oleh pihak kerajaan dalam usaha membangunkan bidang pertanian kerana keuntungan yang digarap amat memuaskan. Secara tidak langsung, para pedagang luar yang tertarik dengan kemajuan agrikultur negara akan mengunjungi negara dan perkhidmatan pelancongan seperti tambang pengangkutan dan penginapan turu mampu menjana ekonomi negara. Kehadiran pedagang luar ini akan terus mencambah perluasan kawasan eksport hasil pertanian negara ke serata dunia lantas melonjakkan kadar pendapatan negara. Dengan ini, dapatlah disimpulkan bahawa kejayaan bidang ekonomi negara terletak pada usaha kerajaan dalam membangunkan bidang pertanian. P5 (217 patah perkataan)

Tak kenal, maka tak cinta merupakan ungkapan yang sesuai kita aplikasikan apabila kerajaan menggunakan produk pertanian Malaysia untuk memperkenalkan negara kita di persada dunia. Lambakan hasil pertanian menjadikan Malaysia negara yang unik dan produk ini melonjakkan nama baik negara. Tahap kualiti produk pertanian Malaysia amat dikagumi oleh negara-negara lain sehingga Malaysia mampu melaksanakan Ekspo Hab Halal Dunia saban tahun yang mempamerkan rangkaian makanan halal di Malaysia terutamanya yang berasaskan pertanian untuk diperkenalkan kepada dunia. Sebagai contoh, tanaman nenas yang ditanam secara meluas telah dikomersialkan menjadi pelbagai produk seperti jem, koktel, puding dan sebagainya dan diperdagangkan di peringkat antarabangsa. Industri pertanian juga telah dijadikan salah satu tarikan pelancong berteraskan konsep agropelancongan yang menonjolkan keunikan produk pertanian negara kepada pelancong dari dalam mahupun luar negara. Program inap desa dijalankan oleh pemilik-pemilik dusun buah-buahan tempatan untuk menarik para pelancong menginap di dusun mereka. Para pelancong dapat menikmati buah-buahan tempatan segar yang dipetik terus daripada pokok dan dinikmati serta-merta di dusun tersebut. Hal ini mampu menyebabkan keunikan industri kedatangan pelancong asing ke negara kita. Dengan ini, terbuktilah bahawa bidang pertanian mampu melonjakkan nama negara ke persada dunia. P6 (195 patah perkataan)

     Sebagai penutup bicara, dapatlah dirumuskan bahawa bidang pertanian mampu memberikan pelbagai faedah kepada rakyat dan negara. Sebagai warganegara yang patriotik, kita wajarlah terus bekerjasama dengan kerajaan bagai aur dengan tebing untuk melaksanakan dan menjayakan segala program yang diusahakan oleh kerajaan untuk memajukan bidang pertanian. Sesungguhnya kerjasama yang kita lontarkan akan dapat memberi manfaat kepada kita semula kerana segala usaha yang diimplementasikan oleh kerajaan berteraskan kepentingan rakyat. Produk pertanian negara wajarlah diberikan sokongan yang berterusan kerana sebagai rakyat Malaysia, kitalah yang menjadi tulang belakang kemajuan apa-apa bidang di negara kita. Usahlah bersifat nihilisme dan bertuhankan budaya hedonisme agar kemajuan negara berasaskan bidang pertanian dapat dicapai secara holistik. Sesungguhnya sebagai seorang murba, setiap tindakan kita menyokong usaha kerajaan memajukan bidang pertanian akan tetap memberikan implikasi major kepada negara. P7 (126 patah perkataan)

Thursday, 12 March 2015

Contoh karangan bahagian B Kertas 1 jenis syarahan

Bahagian B
[ 100 markah ]
[ Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit ]

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

1. Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan anda ialah 'Pengurusan Masa Berkesan Melahirkan Individu Cemerlang'.

Tulis teks syarahan itu selengkapnya.

             Sekalung spresiasi saya ucapkan buat peneraju acara yang petah berbicara, para hakim budiman yang adil lagi saksama, menjadi neraca keadilan, paksi kebenaran, guru-guru pendidik anak bangsa serta rakan-rakan seperjuangan, pemangkin kemajuan bangsa dan negara. Selamat sejahtera dan salam Satu Malaysia buat kesemuanya. Berdirinya saya di sini pada pagi yang mulia dan penuh dengan keberkatan ini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk 'Pengurusan Masa Berkesan Melahirkan Individu Cemerlang'. Sebelum bibir terus melantun kata, sebelum untaian idea saya teroka, dan sebelum gapura kata saya buka, moleklah sekiranya saya mendefinisikan terlebih dahulu maksud tajuk syarahan saya pada pagi ini agar kita semua tidak karam di lautan idea. Frasa ' pengurusan yang berkesan ' membawa maksud teknik-teknik mengurus kehidupan seharian dengan mematuhi serta menghargai masa, manakala frasa 'melahirkan individu cemerlang' bolehlah dikonotasikan sebagai pembentukan sahsiah dan keperibadian unggul dalam diri seseorang. (136 patah perkataan)

Hadirin-hadirin pemangkin kemajuan negara,
              Bagi memastikan bahawa setiap seorang daripada rakyat Malaysia mempunyai pengurusan masa yang berkesan, maka terdapat pelbagai prakarsa yang telah diperkenalkan oleh kerajaan melalui saranan daripada Perdana Menteri sendiri, iaitu Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak melalui 'Kempen Rakyat Proaktif, Negara Maju' yang telah diadakan beberapa tahun yang lalu. Prakarsa pertama yang wajar kita cakna ialah menyediakan jadual harian serta jadual belajar bagi para pelajar di seluruh Malaysia. Marcapada ini, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang masih tidak mengetahui serta menyedari akan kepentingan jadual harian serta jadual belajar bagi memastikan kelancaran kehidupan seharian rakyat di Malaysia. Jadual harian tersebut seyogiyalah mengandungi peruntukan masa dan jenis-jenis aktiviti yang diambil kira akan kepentingan aktiviti-aktiviti tersebut dalam kehidupan seharian, agar matlamat pelaksanaan jadual harian tersebut dapat dicapai dengan sebaik mungkin. Meminjam kata-kata hikmat dari seorang ahli perniagaan terkenal dunia, Donald Trump, beliau berkata bahawa, "Seluruh kehidupan kita perlu dirancang dan dikawal sekiranya kejayaan mahu dikecapi". Maka, sudah terbuktilah bahawa teknik pelaksanaan jadual harian mampu membawa kepada pengurusan masa yang berkesan dan seterusnya melahirkan individu cemerlang persis Donald Trump yang dicemburui ramai atas kejayaan yang dimilikinya. Namun, hadirin sekalian harus sentiasa menyedari bahawa untuk menjayakan pelaksanaan jadual harian ini, disiplin diri yang tinggi, atau lebih diknelai sebagai ad-Tadwin dalam kerajaan Abbasiyah sewaktu ketika dahulu, perlu disemai dalam diri terlebih daulu. Persis kata peribahasa, hendak seribu daya tak hendak seribu dalihnya. Jika kita berusaha, pasti kita akan dapat mencapai apa yang dihajatkan.
Berakit-rakit ke hulu, 
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian. (253 patah perkataan)

                Selesai untaian idea pertama, beralih pula kepada untaian idea yang kedua. Serangkap pantun yang saya bacakan sebentar tadi merupakan warisan sastera turun-temurun yang sengaja dicipta oleh generasi terdahulu bagi menekankan sikap sabar dan tabah dalam menempuh sesuatu dugaan, supaya kita dapat menikmati kemanisan nikmat kejayaan pada kemudian hari, mesej dan teladan yang cuba disampaikan ini bolehlah dikaitkan dengan untaian idea saya yang kedua, iaitu prakarsa bagi memupuk pengurusan masa berkesan dalam diri seseorang melalui sikap tidak menangguhkan kerja. Biarlah kita bersusah-payah, membanting tulang empat kerat berusaha seperti tiada hari esok bagi memastikan bahawa pekerjaan yang harus kita siapkan pada hari ini tidak berlanjutan sehingga ke hari esok. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Oxford University pada tahun 2005, hampir 60 peratus daripada rakyat di negara mereka menganggap bahawa sikap suka menangguhkan kerja mampu mendatangkan kesan buruk kepada seseorang. Sekiranya tenaga kerja serta pelajar di sekolah ini mengamalkan sikap tidak mengangguhkan kerja dalam kehidupan seharian sudah tentu sekolah ini akan membangun serta maju dalam pelbagai bidang, berbekalkan tenaga kerja dan pelajar yang proaktif dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa pengurusan masa yang berkesan bukan sahaja boleh melahirkan individu yang cemerlang bahkan boleh membawa perubahan positif kepada semua pihak yang terlibat. (222 patah perkataan)

Hadirin-hadirin sidang bervisi,
             Meneruskan agenda kita kepada idea saya yang ketiga, iaitu prakarsa menepati waktu bagi melahirkan pengurusan masa yang berkesan. Meminjam kata-kata hikmat daripada Tun Sri Lanang "Kita hendaklah menepati waktu, kerana waktu tidak menanti kita". Meskipun kita mampu membeli dunia dengan wang ringgit, biarpun kita mampu membeli cinta dengan harta kekayaan, namun sayangnya jika harta dihimpun seluas Lautan Pasifik, mahupun setinggi Gunung Everest, namun kita tidak akan mampu membeli walau hanya lima minit yang telah berlalu. Maka, sehubungan dengan itu, amalan menepati masa haruslah diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia, persis mutiara kata 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' agar amalan ini berkekalan dalam diri kita demi melahirkan individu yang cemerlang. Lihat sahaja pemain badminton terulung dunia, kebanggan tanah air, Datuk Lee Chong Wei, beliau merupakan salah satu contoh individu yang cemerlang, kerana sikapnya yang sangat menepati waktu. Beliau tidak akan melengah-lengahkan pekerjaan beliau, bahkan beliau juga tidak pernah datang lewat untuk menjalani sesi latihan kerana bagi beliau, masa itu emas. Sikap positif individu cemerlang ini haruslah diteladani serta dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat. Datuk Lee Chong Wei telah membuktikan bahawa sekiranya kita mempunyai pengurusan masa yang berkesan, kita akan menjadi individu yang cemerlang yang berdisiplin dan disegani serta disanjungi masyarakat.
Ingat lima perkara sebelum lima perkara,
Sihat sebelum sakit,
Muda sebelum tua,
Kaya sebelum miskin,
Lapang sebelum sempit,
Hidup sebelum mati. (223 patah perkataan)

Hadirin-hadirat pencetus aspirasi negara,
             Lirik lagu yang saya sampaikan sebentar tadi merupakan lagu dendangan sebuah kumpulan nasyid, yang bertujuan menyedarkan umat manusia tentang kepentingan meninggalkan perkara yang melalaikan dalam kehidupan serta menghargai setiap detik yang berlalu. Suka saya ingatkan di sini bahawa meninggalkan perkara yang melalaikan merupakan salah satu anjuran qudwah hasanah umat manusia, yakni Nabi Muhammad. Beliau telah menyarankan agar umat manusia meninggalkan perkara yang tidak berfaedah serta tidak mendatangkan sebarang maslahat kepada manusia seperti berbual-bual kosong, melepak serta mengumpat dalam hadis-hadis beliau. Sekiranya mahu menjadi individu cemerlang yang mempunyai pengurusan masa yang berkesan, sewajarnya kita mengerti dan menyedari bahawa setiap detik, minit dan jam yang berlalu sangat berharga dan berbaloi untuk dibazirkan dengan perbuatan sedemikian rupa. Sewajarnya kita mengisi masa lapang kita dengan melakukan aktiviti-aktiviti bermanfaat serta membaca, bersukan dan beriadah. Ingin saya kongsikan di sini kata-kata hikmat daripada Datuk Seri Abdullah yang berbunyi "Masa itu ialah nyawa kita, seperti mana nyawa tidak boleh dibeli, begitu juga masa". Beliau juga merupakan seorang tokoh yang ternama yang sentiasa menyarankan aktiviti baru dan berfaedah kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan muda semasa tampuk pemerintahan beliau. (184 patah perkataan)

            Tuntasnya, terdapat pelbagai prakarsa yang boleh diambil bagi melaksanakan pengurusan masa berkesan, seterusnya melahirkan individu cemerlang. Individu cemerlang di sini membawa maksud individu yang berdisiplin tinggi, menepati waktu serta meninggalkan perkara yang sia-sia. Terdapat pelbagai manfaat yang boleh diperoleh dengan menjadi individu cemerlang, antaranya ialah disanjungi masyarakat, meningkatkan produktiviti kerja serta dapat menjadi insan yang bermotivasi tinggi. Meminjam kata-kata hikmat daripada Manta Presiden Indonesia, Soekarno, beliau berkata "Gantunglah cita-citamu di langit walaupun kakimu menjejaki perlimbahan". Maksudnya, kejarlah cita-cita kita untuk menjadi individu cemerlang dengan melaksanakan pengurusan masa yang berkesan walaupun bermula di bawah. Persis mutiara kata 'sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit','usaha tangga kejayaan'. Berbekalkan motivasi yang tinggi, kita mampu untuk mencapai cita-cita yang setinggi bintang di langit, walaupun kita masih berpijak di bumi yang nyata. Sekian sahaja daripada saya, sehingga berjumpa lagi. Sekian terima kasih. (135 patah perkataan)

Wednesday, 11 March 2015

PERKATAAN YANG MENGANDUNGI DUA KATA DASAR TETAPI DIEJA SEBAGAI SATU PERKATAAN



  1. Antarabangsa
  2. Bumiputera 
  3. Beritahu
  4. Jawatankuasa
  5. Kakitangan
  6. Kerjasama
  7. Matahari
  8. Olahraga
  9. Pesuruhjaya
  10. Setiausaha
  11. Sukarela
  12. Suruhanjaya
  13. Tandatangan
  14. Tanggungjawab
  15. Warganegara

Sunday, 1 March 2015

Simpulan Bahasa

1. Ada hati
Maksud : Kemahuan / berhajat akan sesuatu
Ayat : Walaupun keluarganya miskin tetapi Syakirah belajar bersungguh-sungguh kerana dia ada hati hendak melanjutkan pelajarannya ke universiti suatu hari nanti.

2. Buah hati
Maksud : Orang kesayangan / kekasih / orang yang dicintai
Ayat : Zakri berasa gelisah kerana buah hati yang dirinduinya selama ini akan ke luar negara.

3. Kecil hati
Maksud : Berasa tersinggung
Ayat : Jangan kecil hati akan kata-katanya kerana dia menasihati kita untuk kebaikan.

4. Langkah kanan
Maksud : Bernasib baik / bertuah
Ayat : Hari ini, Azizah langkah kanan kerana ketika dia tiba di rumah kakaknya, mereka sedang menikmati jamuan tengah hari dan dia dijemput makan bersama-sama mereka.

5. Ayam tambatan 
Maksud : Orang yang banyak pengalaman dan menjadi harapan (biasanya dalam pasukan permainan).
Ayat : Husaini menjadi ayam tambatan pasukan hoki sekolahnya kerana kehandalannya menjaring gol.

6. Buah tangan 
Maksud : Hadiah 
Ayat : Kami membawa buah tangan semasa melawat Aini di hospital.

7. Bintang terang
Maksud : Nasib baik
Ayat : Sejak tamat pengajiannya, dia dikatakan berbintang terang kerana mudah ditawarkan jawatan yang bergaji lumayan.

8. Bahasa dalam 
Maksud : Bahasa istana
Ayat : Sudah teradat dalam budaya Melayu setiap rakyat yang menghadap sultan hendaklah menggunakan bahasa dalam.

9. Samar muka
Maksud : Waktu senja
Ayat : Burung-burung yang keluar mencari makan akan kmebali ke sarang pada sebelah petang iaitu, ketika hari sudah samar muka.

10. Terang-terang tanah
Maksud : Waktu hampir siang
Ayat : Pada waktu terang-terang tanah penoreh itu sudah berada di kebun getahnya.

11. Mandi peluh 
Maksud : Bekerja dengan sepenuh tenaga
Ayat : Mereka sanggup mandi peluh asalkan surau di kampung itu dapat disipkan mengikut jadual.

12. Otak cair
Maksud : Pintar/bijak/pandai
Ayat : Alimin dianggap pelajar yang otak cair kerana dapat menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya dengan tepat.

13. Air muka
Maksud : Wajah, maruah
Ayat : Air muka Ati muram sahaja apabila ibunya melarang dia mengikuti kawan-kawannya ke pekan / Tidak baik mencemuh dan menjatuhkan air muka orang di depan khalayak ramai.

14. Alas cakap
Maksud : Kata pendahuluan sebelum persoalan utama diperkatakan
Ayat ; Alas cakap yang disampaikan oleh pengerusi forum itu menjadi pencetus kepada persoalan yang akan dibincangkan oleh ahli panel.

15. Bau-bau bacang 
Maksud : Persaudaraan yang jauh
Ayat : Saya selalu melawatnya apabila ke Kuala Lumpur kerana hubungan kekeluargaan kami masih bau-bau bacang.

16. Buah pena
Maksud : Hasil tulisan atau karya
Ayat : Cerpen yang berjudul "Pertemuan Pertama" ialah buah pena sasterawan negara.

17. Ikat perut 
Maksud : Mengurangkan / kurang makan kerana miskin
Ayat : Setiap hari kami sekeluarga terpaksa ikat perut kerana ayah uzur dan tidak dapat bekerja seperti dulu.

18. Tajam hati
Maksud : Seseorang yang mudah memahami sesuatu yang diajarkan
Ayat : Murid yang tajam hati menjadi kesayangan guru-guru dan rakan sekolahnya.






Kosa Kata

1.Mikrocip
Jawapan: silikon kecil
Makna : Kepingan silikon yang sangat kecil dalam komputer dan mengandungi litar elektronik yang boleh menyimpan sejumlah besar maklumat.
Ayat : Komponen mikrocip ini diimport dari Jepun untuk industri pengkomputeran di negara ini.

2. Neorosis 
Jawapan : gangguan emosi
Makna : Tekanan emosi atau perasaan akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan (yang biasa menimbulkan keresahan yang mungkin ditunjukkan secara langsung atau tak langsung melalui pertuturan) .
Ayat : Gejala neorosis sering menimpa muda-mudi yang mengalami krisis keluarga.

3. Ozon 
Jawapan : lapisan gas di stratosfera bumi.
Makna : Lapisan gas di atmosfera yang berperanan menapis sinar lampu ungu yang berbahaya daripada matahari supaya tidak sampai ke bumi.
Ayat : Lapisan ozon semakin menipis di atmosfera dan boleh mengancam kehidupan makhluk di dunia.

4. Pakej 
Jawapan : tawaran lengkap
Makna : Cadangan yang dikemukakan terhadap sesuatu urus niaga, perkhidmatan dan sebagainya secara lengkap yang mesti diterima semuanya.
Ayat : Tawaran harga kepada barang-barang yang dijual secara pakej adalah lebih murah dan menjimatkan.

5. Juvenil 
Jawapan : remaja
Makna : Anak muda yang masih mentah dan belum matang.
Ayat : Kes juvenil yang dibawa ke mahkamah kerana melakukan pelbagai jenayah semakin bertambah sejak kebelakangan ini.

6. Prima facie
Jawapan : pada zahirnya
Makna : Pada penglihatan secara sepintas lalu (sebelum diselidik dengan lebih terperinci).
Ayat : Secara empiris, penemuan itu lebih berbentuk prima facie yang memerlukan kajian yang lebih mendalam.

7. Habeas corpus 
Jawapan : perintah bertulis
Makna : Arahan secara bertulis yang membolehkan seseorang dihadapkan ke muka pengadilan untuk memutuskan sama ada penahanannya dilakukan secara sah atau sebaliknya.
Ayat : Dia berjaya mendapatkan habeas corpus daripada mahkamah agar kes itu didengar semula untuk diulang bicara.

8. Halusinasi 
Jawapan : gangguan pancaindera
Makna : Pengalaman melihat atau mendengar sesuatu yang sebenarnya tidak wujud akibat gangguan kesihatan (seperti mengambil dadah).
Ayat : Pengambilan dadah yang berlebihan boleh membuatkan seseorang berada dalam keadaan halusinasi.

10. Harfiah
Jawapan : literal
Makna : Makna tersurat atau selapis yang dapat difahami secara mudah dan jelas (lawan kepada maknawi, iaitu makna yang tersirat).
Ayat : Secara harfiah, buku ini tidak menampilkan sebarang percanggahan fakta dengan apa yang pernah dipertikaikan oleh orang ramai sebelum ini.

11. Holistik 
Jawapan : keseluruhan
Makna : Pandangan yang lebih mementingkan unsur keseluruhan sebagai satu kesatuan daripada satu-satu bahagian tertentu.
Ayat : Pendapat itu menggunakan bukti-bukti yang terkini serta kejituan fakta secara holistik untuk mematahkan hujah-hujah pihak pembangkang.

12. Jerebu 
Jawapan : kabut bercampur debu
Makna : Pengumpulan habuk, asap tebal, debu dan lembapan dan sebagainya di atmosfera.
Ayat : Keadaan jerebu di Kuala Lumpur akan berterusan selagi usaha pemuliharaan alam sekitar tidak ditangani secara serius.

13. Kompendium
Jawapan : ikhtiar tulisan ilmiah
Makna : Ringkasan penulisan ilmiah yang tuntas.
Ayat : Kompendium itu akan dibentangkan sebagai kertas dasar dalam simposium tersebut.

14. Hegemoni
Jawapan : pengaruh kekuasaan
Makna : Pengaruh kekuasaan suatu negara atas negara-negara lain.
Ayat : Inti sari hegemoni Amerika Syarikat sesungguhnya adalah penjualan kapitalisme serakah dan pengeksportan liberalnya.

15. Demografi
Jawapan : susunan, jumlah dan perkembangan penduduk.
Makna : Ilmu pengetahuan tentang susunan, jumlah dan perkembangan penduduk, ilmu yang memberikan huraian lukisan atau statistik tentang suatu bangsa dilihat dari segi sosiopolitik, ilmu kependudukan.
Ayat : Kini Malaysia harus menerima realiti sejarah bahawa identiti nasional mesti diungkapkan dalam wadah kemelayuan dan di sesuaikan dengan demografi selepas merdeka.

16. Iltizam
Jawapan : Komitmen
Makna : Tanggungan, komitmen, tanggungjawab, janji.
Ayat : Kalau jabatan yang dipimpin oleh Norhiyati Ibrahim itu bermakna Jabatan Kemanusiaan dan Hal-Ehwal Awam, tentu sekali dapat mempertegas iltizam menerapkan dimensi kemanusiaan.

17. Liabiliti
Jawapan : Tanggungan
Makna : Tanggungjawab, tanggungan, kemudaratan, kekurangan.
Ayat : Roscoe dalam bukunya telah menganalisis fungsi, tujuan dan penerapan undang-undang liabiliti dan kontrak.

18. Pemerian
Jawapan : Penghuraian
Makna : Penjelasan (tentang sifat, keadaan hal dan unsurnya, keterangan kebahasan dalam bentuk huraian yang menjelaskan pelbagai peristiwa atau makna kebahasan).
Ayat : Bahasa dalam novel terbaharunya amat lurus dan hampir tiada terasa konotasi perasaan pengarang atau watak, sesuai dengan bentuk dan tradisi pemerian fakta sejarah.

19. Moratorium
Jawapan : Penghentian sementara.
Makna : Penangguhan, penghentian sementara mesyuarat, persidangan dan lain-lain.
Ayat : Kalau dikenakan moratorium, mereka menggunakan pelbagai pengaruh untuk mengubah keputusan yang telah dibuat.

20. Lepak
Jawapan : Menghabiskan masa tanpa membuat apa-apa kerja yang bermanfaat
Makna : Tidak membuat sebarang kerja (kerana malas dan sebagainya)
Ayat : Kementerian Kewangan akan menggemblengkan tenaga bersama-sama dengan kementerian-kementerian lain dalam usaha menangani belia-belia lepak di negara ini.

21. Resolusi
Jawapan : rumusan
Makna : Kebulatan pendapat atau keputusan yang diambil oleh suatu mesyuarat (perjumpaan, rapat dan lain-lain)
Ayat ; Sebelum itu ketika berucap menutup persidangan tersebut beliau mencadangkan resolusi yang dicapai dalam persidangan kali ini di bawa ke persidangan yang lebih besar dengan melibatkan semua masyarakat Parlimen dunia.

22. Etnik 
Jawapan : kesukuan
Makna : Yang berkaitan dengan sesuatu bangsa atau kaum (dalam suatu sistem atau kumpulan masyarakat yang lebih besar)
Ayat : Beliau yakin bahawa usaha memecahkan Bosnia-Herzagovina kepada tiga kawasan etnik di bawah rancangan Owens-Stoltenberg tidak akan berjaya.

23. Busana 
Jawapan : Pakaian lengkap yang cantik-cantik
Makna : Pakaian yang indah-indah, perhiasan.
Ayat : Penekanan pameran ini adalah untuk memperlihatkan nilai-nilai estetik, sejarah dan budaya yang terungkap dalam busana mereka.

24. Alternatif 
Jawapan : Pilihan
Makna : Pilihan yang merupakan kemestian(keharusan) satu pilihan antara dua kemungkinan atau beberapa kemungkinan.
Ayat : Syarikat perkhidmatan keselamatan, Securiforce Sdn. Bhd memperluaskan skop perniagaannya dengan memperkenalkan sebagai alternatif kepada keperluan sistem pengangkutan yang lebih efektif.

25. Kalis 
Jawapan : tidak dapat ditembusi
Makna : Tidak dapat dimasuki atau diserapi sesuatu seperti air atau peluru.
Ayat : Mengenai kelebihan lori-lori tersebut, beliau memberitahu, selain mempunyai ruang yang lebih luas berbanding dengan kenderaan biasa, ia juga adalah kalis peluru.